rss
twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)
Agama rasmi di Malaysia adalah agama islam. Tetapi rakyat lain juga bebas untuk menganut agama masing-masing. Oleh sebab majoriti rakyat Malaysia adalah umat islam, maka saya ingin menyentuh sedikit tentang amalan mulia yang diamalkan Rasulullah s.a.w dan digalakkan oleh Allah s.w.t iaitu, bersedekah. Sabda Rasulullah s.a.w :




"Barangsiapa yang bersedekah dengan sebiji kurma yang diperoleh dengan usaha yang halal sementara Allah tidak menerima kecuali yang halal, Allah akan menerimanya dengan tangan kananNya (yakni menerima dengan berkahNya). Kemudian Dia melipatgandakan berkahNya bagi pelakunya, sebagaimana seseorang dari kalian melipatgandakan maharnya. Bahkan satu suap akan menjadi sebesar Gunung Uhud"




Sabda Rasulullah s.a.w di atas amat jelas menunjukkan bahawa amalan bersedekah ini akan memberi pulangan yang lumayan kepada sesiapa yang bersedekah. Harta umat islam sebenarnya milik semua umat islam. Kerana itulah adanya kewajipan membayar zakat kepada semua umat islam. Sesungguhnya agama islam itu tidak membebankan. Oleh itu, pembayaran zakat hanya diwajibkan kepada umat islam yang berkemampuan sahaja.


Dalam konteks agama lain pula, semestinya amalan bersedekah ini amat digalakkan juga. Tetapi perbezaannya, ia tidaklah dipanggil bersedekah. Cuma konsep bersedekah itu dianggap seperti memberi duit atau hadiah kepada sesiapa. 




Saya berikan satu contoh. Apabila perayaan Tahun Baru Cina disambut, orang cina yang sudah berkahwin akan memberikan angpau kepada kanak-kanak atau sesiapa yang belum berkahwin   dengan tujuan orang yang menerima angpau itu akan memperoleh kekayaan. Lihat sahajalah, banyak perniagaan orang cina maju selaras dengan ekonomi umat islam. Hal ini membuktikan amalan bersedekah akan meningkatkan kewangan anda. Sesungguhnya, Allah s.w.t tidak memungkiri janjiNya dan Dia bersifat Ar-Rahman yang bermaksud Maha Pengasih terhadap semua makhluknya.


Saya tidak mengatakan bahawa agama dan kepercayaan lain tidak menggalakkan amalan ini. Amalan orang Cina ini hanyalah sebagai contoh. Saya percaya agama dan kepercayaan lain juga mengamalkan amalan mulia ini.


Saya sediakan beberapa ciri-ciri atau aspek dalam amalan bersedekah ini untuk memperoleh balasan atau rezeki yang melimpah ruah.


  • Barang yang disedekahkan itu hendaklah baik dan elok. Adalah tidak wajar dan munasabah andainya benda yang disedekahkan itu jika disedekahkan kepada kita, kita sendiri tidak menyukainya dan tidak rela menerimanya. Biarlah yang disedekahkan itu daripada benda-benda yang disenangi oleh penerimanya. Kerana itulah Allah Subhanahu Wataala melarang bersedekah dengan benda-benda yang tidak baik. Perlu diingat bahawa bersedekah adalah merupakan ibadat dan tanda mensyukuri nikmat yang dianugerahkan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 267 : 
"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi 
sentiasa terpuji".


  • Sesuatu yang disedekahkan itu hendaklah daripada yang halal, bukan haram atau syubhat.
  • Adalah sunat bagi pemberi sedekah atau derma itu bersedekah dan berderma daripada benda-benda yang disukai dan disayanginya. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 92 yang tafsirnya :
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya".


nilai sedikit atau banyaknya sedekah bukan menjadi ukuran
  • Ingatlah jika kita benar-benar mahu amalan sedekah kita menepati kehendak bersedekah, maka setentunya tiga perkara yang disebutkan tadi perlu ada pada benda-benda yang disedekahkan walaupun hanya sedikit kerana bukan sedikit atau banyak yang menjadi ukuran.
  • Adalah perlu diambil ingatan bahawa jika kita bersedekah, maka hendaklah disertai dengan keikhlasan, bukan dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti orang yang menerima sedekah atau derma kerana perbuatan sedemikian hukumnya adalah haram dan merosakkan amalan bersedekah itu. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 24 yang tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".


  • Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi adalah lebih utama dan afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Kerana perbuatan itulah yang dekat kepada keikhlasan dan jauh dari perasaan riak. Kerana sifat riak atau sifat menunjuk-nunjuk boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian orang dan mahu dikatakan seorang pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala akan diperolehi.
  • Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan. Mudah-mudahan segala amal perbuatan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala, Amin.



This entry was posted on 6/15/2011 06:23:00 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: